Ulasan Mingguan

Perjanjian perdagangan Amerika Syarikat dan China yang termeterai pada minggu lepas mungkin mengujakan sebahagian pelabur, namun ramai penganalisis melihat tiada sebarang terma perjanjian yang berubah dan China masih perlu membayar cukai serta membuka pasarannya dengan lebih luas sebelum AS menarik balik sebarang cukai yang telah dikuatkuasakan sebelum itu.

Untuk itu, pasaran hadapan (+0.44%) menutup positif pada Jumaat lepas dengan permintaan diketuai oleh bijirin (+1.33%), logam (+1.17%) dan barangan lembut (+0.61%); sementara matawang (-0.07%), produk tenaga/minyak (-0.10%) dan bon/kewangan (-0.26%) ketinggalan.

Di pasaran hadapan matawang pula, pasaran mengambil sikap berhati-hati dengan kesemua matawang utama menutup negatif kecuali Peso Mexico (+0.55%) dan Dolar AS (+0.31%).

Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran masih berada dalam trend menaik; dengan 44 mata pada setahun yang lalu, 87 mata pada sebulan yang lalu dan menutup dengan 89 mata pada Jumaat lepas. Namun, ianya lebih rendah daripada 91 mata pada Jumaat seminggu sebelumnya.

Seperti yang dijangkakan, pembukaan pasaran tahun baru 2020 yang mengejutkan, membuatkan pelabur terus berada dalam sentimen berhati-hati; terutamanya menjelang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada hujung tahun ini. Dolar dilihat telah pun mencapai kemuncak nilai pada tahun lepas dan sebarang kenaikan dilihat sebagai peluang menjual. Di samping itu, aset ‘safe-haven’ dijangka terus mendapat permintaan untuk jangka panjang.

Bank-bank utama juga dilihat terus aktif memindahkan modal ke negara-negara membangun untuk mengimbangi risiko portfolio mereka. Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+5.18%), S&P500 (+3.00%), Dow (+2.73%), TSX (+3.04%) Eropah – SMI (+2.52%), EuroStoxx (+1.17%), DAX (+2.32%), FTSE UK (+0.92%) Asia/Australia – Nikkei (+0.88%), HangSeng (-0.73%), KLCI (-0.09%), ASX (+5.72%).

(Baca pandangan minggu ketiga disini)

 

Pandangan Mingguan

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Amerika Syarikat pada minggu ini, dijangka menyebabkan Dolar kembali lemah dan hanya mengharapkan bidaan “safe-haven”. Dengan Eropah yang bakal berdepan dengan keputusan mesyuarat ECB dan Kanada dengan BoC; Euro dan CAD dilihat berpotensi untuk membuat kejutan pasaran.

Indeks Dolar (DXY) yang telah pun mencapai kemuncak sekitar 99.70 mata pada hujung September 2019, dilihat akan terus tertekan lantaran jangkaan ketiadaan sebarang kenaikan kadar faedah untuk sepanjang tahun ini. Penganalisis melihat kejatuhan ke paras 95.20/30 untuk tiga bulan akan datang. Paras 97.50/80 dilihat sebagai rintangan utama sebelum paras psikologi 98.00 mata.

Amerika Syarikat & Kanada

Selepas dua minggu Dolar AS membuat pacuan, ketiadaan sebarang laporan berimpak tinggi pada minggu ini dijangka bakal menyaksikan jualan USD dan pembelian matawang berkadar faedah tinggi seperti Peso Mexico, Ruble Russia dan Lira Turki; selain dari matawang utama Euro, Pound, Aussie, Kiwi dan CAD. Bank-bank Jepun dan Swiss dijangka menyokong Dolar dari sebarang kejatuhan mendadak.

Bank Pusat Kanada dijangka mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat kali ini, namun terdapat desas-desus dengan laporan ekonomi yang kurang memberansangkan baru-baru ini; yang ianya mungkin membuat kejutan pemotongan kadar faedah seperti sebelum ini. Namun itu masih spekulasi pelabur.

Eropah

Eropah dan UK membuka minggu dengan laporan ekonomi yang mengujakan pasaran apabila indeks sentimen ekonomi Jerman menunjukkan perningkatan ketara dari 10.7 kepada 26.7 mata, berbanding jangkaan pasaran sebanyak 15 mata sahaja. Mesyuarat ECB pada Khamis ini dijangka menarik perhatian pelabur yang mahu menyaksikan reaksi Presiden baru ECB, Puan Christine Lagarde.

UK pula melaporkan perkembangan sektor pekerjaan yang terbaik selepas angka tuntutan bantuan pengangguran kekal pada 14,900 pemohon berbanding jangkaan peningkatan kepada 22,600. Kadar pengangguran kekal pada 3.8% seperti jangkaan pasaran, merupakan yang terendah dalam masa 45 tahun. Pound juga dijangka terus disokong dengan jangkaan indeks perkilangan dan perkhidmatan yang dijangka meningkat dari 49.3 kepada 50.5 mata.

Ketiadaan laporan berimpak tinggi dari Switzerland dijangka akan mendorong pelabur menjual Swiss.

Asia/Australia

Asia membuka minggu dengan laporan inflasi BoJ yang seakan tiada sebarang kesan, lantaran pelabur yang telah pun menjangka BoJ akan kekal dengan polisi semasa. Namun dengan musim percukaian Jepun yang bakal menjelma, Yen dijangka kembali mendapat permintaan terutamanya dari syarikat konglomerat Jepun yang beroperasi di luar negara.

Aussie dijangka tertekan dengan laporan sektor pekerjaan yang dijangka hanya menambah 15 ribu pekerjaan sahaja untuk bulan Disember berbanding hampir 40 ribu pada bulan sebelumnya. Kiwi juga dijangka terus tertekan dengan jangkaan inflasi suku ke-empat yang menurun dari 0.7% kepada 0.4%.

Saham

Dengan indeks-indeks utama pasaran saham dunia – terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah – yang kini berada di paras tertinggi dalam sejarah, pelabur dilihat lebih banyak mengambil untung dan membuat imbangan portfolio berbanding pencarian saham-saham baru. Pelabur juga dilihat lebih memilih strategi jangka pendek daripada jangka panjang. Saya akan cuba melaporkan sebarang saham yang dilihat menarik minat pelabur institusi bila berkesempatan.

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate ยป