Ulasan Mingguan
Perang Iran-AS, Perjanjian perdagangan AS-China, kemudian datang pula kisah virus “corona” yang mengorbankan ramai jiwa di wilayah Wuhan, China. Pasaran yang awalnya melihat ia sebagai hanya satu dalam seribu kisah pasaran, kini panik yang virus tersebut mungkin menular ke seluruh dunia kerana China gagal mengawalnya. Laporan kematian meningkat dan kini virus tersebut dikatakan telah menjalar ke merata negara.
Pasaran yang panik menjual aset berisiko dan matawang komoditi, kembali mencari perlindungan dalam aset ‘safe-haven’. Namun, sehingga Selasa semalam, pasaran kembali tenang selepas laporan rasmi dari China mengatakan bahawa virus corona kini telah pun mencapai tahap rebakan maksima sehingga 10 hari dan akan mereda dalam masa terdekat.
Semalam, kesemua komponen pasaran hadapan (+0.33%) menutup positif dengan permintaan diketuai oleh produk tenaga/minyak (+0.95%), bijirin (+0.57%), barangan lembut (+0.45%) dan hanya produk bon/kewangan (-0.13%) hilang permintaan.

Di pasaran hadapan matawang pula, pasaran kembali optimis dengan pembelian diketuai oleh Aussie (+0.36%), Peso Mexico (+0.15%) dan Pound British (+0.10%); sementara Euro (-0.03%) dan matawang ‘safe-haven’ Yen (-0.05%) serta Swiss (-0.12%) ketinggalan.
Semalam, Indeks “CNN Fear & Greed” menunjukkan sentimen pasaran menutup dengan 53 mata, lebih baik dari Isnin pada 47 mata. Namun, ia masih rendah dari 81 mata pada seminggu yang lalu dan 91 mata pada sebulan yang lalu.

Pasaran dijangka akan terus mengambil sikap berhati-hati, terutamanya menjelang pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada hujung tahun ini. Dolar AS dilihat telah pun mencapai kemuncak nilai pada tahun lepas dan sebarang kenaikan dilihat sebagai peluang menjual. Di samping itu, aset ‘safe-haven’ dijangka terus mendapat permintaan untuk jangka panjang.
Indeks pengangkutan menunjukkan pasaran saham yang tertekan, walaupun laporan kewangan beberapa syarikat konglomerat utama menunjukkan perkembangan yang sihat; sekaligus memberikan isyarat bahawa pasaran tidak yakin yang sentimen optimis ini akan berkekalan untuk jangka panjang.
Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:
AS & Kanada – Nasdaq (+4.10%), S&P500 (+1.41%), Dow (+0.65%), TSX (+2.56%) Eropah – SMI (+2.33%), EuroStoxx (-0.26%), DAX (+0.79%), FTSE UK (-0.64%) Asia/Australia – Nikkei (-1.17%), HangSeng (-3.65%), KLCI (-2.41%), ASX (+5.20%).
(Baca pandangan minggu ke-empat disini)
Pandangan Mingguan
Dengan pasaran yang telah pun memasuki hari Rabu, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Amerika Syarikat (FOMC) akan menjadi tumpuan utama disamping mesyuarat kadar faedah Bank Pusat England pada Khamis esok. Dengan jangkaan ketiadaan sebarang kenaikan kadar faedah dari Feds AS untuk sepanjang tahun ini, Indeks Dolar (DXY) dijangka akan terus tertekan walaupun kini ia telah memecah paras psikologi 98.00 mata.
Dengan isu Brexit yang dijangka selesai pada Jumaat ini, Pound dilihat sebagai calon utama untuk membuat lonjakan kejutan disamping Euro yang mendapat tempias tersebut. Mesyuarat kadar faedah BoE esok akan mendapat perhatian utama untuk pasaran menentukan arah Pound selanjutnya.
Amerika Syarikat & Kanada
Dolar AS yang membuat pacuan sepanjang tiga minggu lepas, terus mendapat bidaan dari aliran ‘safe-haven’. Namun, dengan ketiadaan jangkaan kenaikan kadar faedah, malah spekulasi untuk satu penurunan pada bulan Julai; pacuan ini mungkin hanya sementara dalam bidaan dealer untuk mengawal pasaran.
Laporan KDNK AS yang dijangka stabil pada 2.1% akan mendorong permintaan untuk Dolar AS, namun dengan kadar faedah yang serupa untuk Dolar Kanada, CAD dijangka akan mendapat alihan permintaan dari pelabur Amerika Syarikat, terutamanya dengan laporan KDNK Kanada yang dijangka lebih baik (+0.1%) berbanding sebelumnya (-0.1%).
Eropah
Minggu yang sedikit sepi untuk Eropah, selain UK yang dijangka mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat BoE Khamis esok. Sentimen Brexit yang lebih baik apabila ia diselesaikan pada Jumaat ini dijangka akan mendorong permintaan untuk Pound. Euro juga dijangka mendapat permintaan kesan dari sentimen pengguna yang lebih baik dan jangkaan inflasi yang meningkat dari 1.3% kepada 1.4%, serta laporan pengangguran Jerman yang dijangka berkurang dari 8 ribu kepada 5 ribu orang sahaja.
Sentimen pasaran yang lebih optimis dijangka akan mendorong pelabur menjual Swiss, walaupun untuk sementara waktu; kerana sentimen menunjukkan CHF telah pun berada dalam net belian dengan jumlah 1,536 kontrak dengan nilai $198 juta sehingga 21 Januari lepas.
Asia/Australia
Asia sepi minggu ini dengan China yang bercuti seminggu sempena tahun baru dan pasaran masih skeptikal dengan perkembangan virus “corona”. Pasaran saham Asia mengalami kejatuhan teruk dengan indeks HangSeng merudum lebih 3% diikuti oleh KLCI 2% dan Nikkei 1%. Hanya ASX Australia sahaja yang masih kekal positif di atas 5%. Yen dijangka terus mendapat permintaan dari pelabur jangka panjang.
Saham
Dengan indeks-indeks utama pasaran saham dunia – terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah – yang kini berada di paras tertinggi dalam sejarah, pelabur dilihat lebih banyak mengambil untung dan membuat imbangan portfolio berbanding pencarian saham-saham baru. Pelabur juga dilihat lebih memilih strategi jangka pendek daripada jangka panjang. Saya akan cuba melaporkan sebarang saham yang dilihat menarik minat pelabur institusi bila berkesempatan.
Selamat Berdagang dan Melabur!
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.