Ulasan Pasaran

Isu virus “corona” nampaknya akan terus menguasai pasaran sehingga pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, selepas Pusat Kawalan Penyakit AS mengumumkan bahawa “anti-dote” yang ditemui masih perlu ujian makmal dan belum bersedia untuk pembuatan komersil. Walaupun kesannya ke atas ekonomi dunia masih belum kelihatan, beberapa bank pusat telah pun mengambil tindakan pro-aktif dengan menurunkan kadar faedah.

Di pasaran hadapan, pada Rabu New York, produk daging (+0.78%), tenaga/minyak (+0.76%) dan bijirin (+0.28%) mendahului permintaan; sementara produk bon/kewangan (-0.10%), indeks saham (-0.55%) dan barangan lembut (-0.56%) ketinggalan.

Di pasaran hadapan matawang pula, kegiatan mengambil untung kelihatan dalam belian Peso Mexico (+0.18%), Aussie (+0.15%) dan Dolar Kanada (+0.07%); sementara Euro (-0.05%), Yen (-0.09%) dan Swiss (-0.09%) mengalami kejatuhan.

Indeks “CNN Fear & Greed” meneruskan kejatuhan ke paras 10 mata pada hari Selasa dan dalam trend menurun semenjak setahun yang lalu; sebelum melonjak semula ke paras 15 mata pada Rabu semalam.

Kepanikan pasaran cuba di kawal oleh Bank Pusat Australia (RBA), Amerika Syarikat (Feds) dan Kanada (BoC) yang masing-masing menurunkan kadar faedah. RBA menurunkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada 0.50%, Feds dan BoC masing-masing menurunkan sebanyak 50 mata asas kepada 1.25%. Pasaran saham melonjak, namun ramai penganalisis melihat lonjakan ini hanyalah sementara.

Sehingga hari ini, prestasi tahunan (YTD) pasaran saham utama berbanding minggu lepas adalah seperti berikut:

AS & Kanada – Nasdaq (+2.48%), S&P500 (-3.12%), Dow (-5.07%), TSX (-1.66%) Eropah – SMI (-3.44%), EuroStoxx (-8.67%), DAX (-8.48%), FTSE UK (-9.64%) Asia/Australia – Nikkei (-9.84%), HangSeng (-5.11%), KLCI (-6.29%), ASX (-4.31%).

(Baca pandangan minggu ke-sembilan disini)

 

Pandangan Trader

Dengan pasaran Asia yang telah pun memasuki hari Khamis, dan pelbagai berita dan laporan yang telah disiarkan untuk minggu ini; saya melihat kebanyakan pasaran akan terus berada dalam keadaan “sideway” sehingga laporan sektor pekerjaan Amerika Syarikat dan Kanada disiarkan pada Jumaat ini. Dengan situasi kerja yang semakin sibuk dan pergerakan pasaran yang pantas, agak sukar untuk saya berikan pandangan yang lebih awal.

Oleh itu, dalam artikel-artikel yang akan datang, saya akan cuba berikan pandangan makro yang lebih sesuai untuk pelabur global dengan horizon pelaburan jangka panjang.

Amerika Syarikat & Kanada

Tindakan Feds dan BoC menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada minggu ini, sedikit mengejutkan pasaran kerana kebanyakan laporan ekonomi AS dan Kanada masih baik dan KDNK juga masih stabil. Namun Feds memberikan alasan biasa iaitu sebagai insuran dalam menangani kemelut pasaran. Tindakan BoC pula dilihat lebih sebagai menyokong Dolar untuk mengelakkan “carry trading” ke dalam CAD dari pemegang USD.

Apapun, dealer terus melakukan proses “wash and rinse” untuk mengawal pasaran seperti apa yang berlaku dalam kadar tukaran Dolar/Yen. Ramai pelabur yang terjerat dan kerugian akibat kekurangan modal dan mengambil risiko lebih dari had yang sepatutnya. CAD masih menjadi pilihan pelabur institusi berbanding USD, walaupun harga minyak merudum, lantaran imbangan duga (balance sheet) BoC yang lebih baik dari Feds.

Eropah

Di Eropah, pelabur Swiss dilihat mula menyokong Euro berbanding Pound dalam masa terdekat, selepas UK melaporkan perkembangan ekonomi yang mengecewakan pada minggu ini. Indeks perkilangan dan perkhidmatan UK jatuh di saat Jerman menunjukkan pemulihan; sekaligus mendorong kenaikan kadar tukaran EUR/GBP.

Sekiranya Bank Pusat Eropah (ECB) mengekalkan kadar faedah pada minggu hadapan, kadar tukaran EUR/JPY dan EUR/CHF dijangka akan stabil dan mampu melakukan lonjakan pembetulan.

Asia/Australia

Agak menarik apabila tindakan RBA, Feds dan BoC menurunkan kadar faedah tidak membawa kadar tukaran AUD/JPY ke bawah ¥70.00 dan USD/JPY ke bawah ¥107.00 serta CAD/JPY ke bawah ¥80.00. Dengan status Jepun sebagai pengimpot produk tenaga, besar kemungkinan kadar tukaran ini akan dipertahankan; terutamanya dengan keadaan semasa ekonomi Jepun dan kadar faedah negatif BoJ yang tertekan dalam memacu semula ekonomi negara matahari terbit itu.

Matawang komoditi Aussie dan Kiwi dijangka akan terus tertakluk kepada perkembangan virus “corona” dan sentimen ekonomi semasa serta pegangan pelabur dalam matawang komodditi tersebut. Buat masa ini, Aussie dan Kiwi dijangka membuat lonjakan pembetulan; kesan dari kegiatan pelabur mengambil untung jualan.

Saham

Pasaran saham merudum seperti yang dijangkakan dan tindakan bank-bank pusat menurunkan kadar faedah dalam usaha menahan panik, mungkin membantu lonjakan buat sementara. Aset teknologi dan pharmaseutikal serta saham dengan beta negatif dan di bawah satu; dijangka terus menarik perhatian pelabur.

Antara 10 saham murah (di bawah $50) yang menarik minat pelabur institusi kini adalah:

Dick’s (DKS), Frontier (FTR), Ensign (ENSG), Amkor Tech (AMKR), A2 Milk (A2M), NextDC (NXT), Clean Away (CWY), Algonquin Power (AQN), Eldorado Gold (ELD) dan Northview Apartments REIT (NVU).

 

Selamat Berdagang dan Melabur!

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »