Isnin lalu ramai yang terkejut beruk mendengar harga minyak mentah gred WTI jatuh menjunam ke paras negatif. Ramai yang tertanya-tanya dan bingung adakah ini bermaksud anda boleh mengambil minyak percuma di pam-pam minyak seluruh negara? Atau syarikat minyak membayar anda untuk membeli minyak mereka? Kenapa sampai boleh jadi begitu? Baiklah saya cuba terangkan supaya anda faham apa yang sebenarnya berlaku.
Anda mungkin sudah tahu bahawa harga minyak mentah gred WTI yang selalu disebut-sebut oleh ramai orang itu adalah harga kontrak masa depan (futures) di Chicago Mercantile Exchange (CME). Kontrak untuk penghantaran minyak (WTI) bulan Mei berakhir pada 20 April iaitu pada hari Isnin lalu. Dan anda juga semestinya sudah tahu bahawa dagangan futures ini melibatkan ramai pihak seperti syarikat minyak dan gas, penapisan, carigali, pembekal, penyimpan, dan yang paling ramai – spekulator (termasuklah dealer).

Carta di atas menunjukkan ketika kontrak untuk penghantaran bulan Mei perlu diselesaikan pada 20 April, Isnin, penjual tidak dapat mencari pembeli untuk menutup kontrak. Yalah, bukankah trading ini transaksi dua hala dan untuk “futures” wujud penyelesaian (settlement) dan penghantaran (delivery) produk. Untuk syarikat minyak, pembekal, dan penyimpan minyak, memang tidak menjadi masalah; kerana mereka memang menggunakan produk tersebut dan boleh menerima penghantaran minyak.
Yang menjadi masalah ialah spekulator yang tidak boleh menyelesaikan (settled) kontrak tersebut kerana hanya mahu mengaut untung dari perbezaan harga sahaja! Jadi ketika mereka ingin menutup kontrak, oleh kerana ketiadaan pembeli, apa yang awalnya untung telah menjadi kerugian. Katalah anda sebagai spekulator di CME menjual pada harga $25 pada 9 April dan tidak keluar pada hari Jumaat (17 April) dan terpaksa menutup pada hari Isnin (20 April); anda akan kerugian (-$37.63 + $25 ) X 1,000 = $12,630!
Ya ini kali pertama berlaku dalam sejarah seperti mana juga kadar faedah negatif. Anda perlu membayar upah untuk bank menjaga wang anda, walaupun mereka boleh menjana keuntungan dari penggunaan wang anda. Tidak pelik lagi bukan? Anda boleh baca lanjut artikel WSJ berbahasa Inggeris disini.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.