Tahun ni pertama kali berpuasa di perantauan selepas lebih 20 tahun semenjak belajar dahulu. Apa boleh buat, sudah takdir dengan penangan korona banyak penerbangan dibatalkan kesan dari perintah kawal pergerakan. Malah, seorang rakan lama yang bercadang menyambut majlis graduasi anaknya di Pittsburgh kecewa selepas Universiti membatalkan majlis tersebut dan tiket penerbangan beliau di beri kredit selama setahun.
Dalam suasana hening ini, dengan pelbagai ketidaktentuan pasaran; perkara terbaik untuk dilakukan adalah dengan mengurangkan aktiviti dagangan dan pelaburan. Dengan kata lain adalah lebih baik memegang tunai dalam nisbah yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Kalau sebelum ini anda biasa melabur sebanyak 80% dan menyimpan tunai 20%. Mungkin lebih baik untuk hanya melabur 40% sahaja dan tunai 60%. Nisbah ini bergantung kepada toleransi risiko anda. Anda yang tentukan.
Sesuailah dengan semangat Ramadhan untuk kita lebihkan aktiviti keagamaan untuk menambah bekalan ke akhirat. Mungkin lebihan dana dari keuntungan itu boleh disedekah kepada mereka yang lebih memerlukan. Apalah guna segala kekayaan yang dikaut jika tidak membawa manfaat kepada orang lain? Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan semoga segala amalan kita diterima ALLAH.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.