Diam tak diam 27 minggu telah berlalu dan pasaran kini telah pun menutup separuh daripada tahun 2020. Ada pengurus dana yang telah pun mencapai sasaran tahunan dan ada yang masih kerugian dan cuba bangkit semula. Tak kurang juga yang telah hilang pekerjaan kerana kerugian lebih dari had yang dibenarkan. Begitulah dunia pelaburan dan kewangan. Adakalanya anda di atas, dan adakalanya anda di bawah. Ini menyebabkan saya melihat kebenaran yang lebih luas.
Apapun, pasaran akan terus berjalan dan hari ini selepas bercuti dari Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat yang ke-244; pasaran menutup kukuh. Harga bon jatuh dan pulangan meningkat, pasaran saham dan komoditi utama memacu naik; namun emas terus juga memacu; sekaligus menunjukkan pasaran sebenarnya masih belum yakin bahawa “the worst is over”. Put/Call Ratio untuk indeks S&P500 sedikit baik, namun masih di atas 1.8, dengan kata lain, sentimen pasaran saham masih “bearish”.

Minggu ini akan menjadi minggu refleksi untuk para pelabur yang akan menoleh kebelakang untuk melihat prestasi mereka sepanjang tiga hingga enam bulan yang lalu, sama ada prestasi semakin meningkat atau menurun dan apa yang boleh dilakukan untuk penambahbaikan dan sekiranya model pelaburan mereka masih selari dengan pandangan pasaran. Banyak yang telah berubah dengan kedatangan virus korona.
Pada pemerhatian saya, kebelakangan ini lebih banyak saham-saham murah dikejar dan para pengurus dana lebih fokus kepada pelaburan dalam industri masa depan. Industri masa kini masih dalam pemerhatian dan bagaimana ianya akan berubah dan menjadi suatu industri baru yang akan memberi peluang pelaburan yang lebih menguntungkan. Apapun saya doakan anda berjaya mencapai objektif pelaburan anda untuk tahun ini.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.