Buat pertama kalinya sejak sekian lama, sentimen pelabur untuk emas berubah sedikit pesimis. Put/Call ratio untuk kontrak Ogos hari ini, menyeberangi sempadan 1.0; sekaligus memberikan gambaran bahawa pelabur mula melihat pandemik virus korona akhirnya akan berjaya diselesaikan dengan berita kejayaan Pfizer (PFE) dan BionTech (BNTX) mendapat kelulusan Pengurusan Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat untuk menguji vaksin ke atas manusia.
Sekiranya berjaya, kerjasama syarikat tersebut akan mengeluarkan dos komersil sebanyak 100 juta pada hujung tahun ini dan lebih 1.2 bilion dos untuk 2021. Saham Pfizer (PFE) melonjak lebih 4% dan BionTech (BNTX) melonjak lebih 10%. Dalam pada itu, pelabur kelihatan terus merebut saham-saham dan ETF murah serta berpotensi tinggi untuk pelaburan masa depan, walaupun kebanyakannya adalah syarikat muda dan masih belum mempunyai rekod kewangan yang kukuh.

Minggu ini juga merupakan minggu pembukaan untuk laporan kewangan syarikat bagi suku kedua dan para pelabur kelihatan teruja untuk melihat bagaimana prestasi syarikat-syarikat ketika pandemik korona bermaharaja-lela sepanjang tiga bulan yang lepas. Musim panas di hemisfera utara diharapkan akan mengekang rebakan virus tersebut, walaupun begitu kerajaan tempatan terus mengambil langkah berhati-hati dengan pembukaan semula yang terkawal.
Dengan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung dalam masa empat bulan lagi, sentimen pasaran dijangka terus optimis dengan berita perkembangan vaksin virus korona menjadi perhatian utama pasaran.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.
