Minggu lepas merupakan minggu pertama selepas tujuh minggu pelabur terus menjual Dollar tanpa henti sehingga mencecah hampir $32 billion. Jumlah ini adalah jumlah yang terbesar berbanding tahun lepas apabila pelabur membeli Dollar lebih $30 billion. Namun jumlah ini masih kecil jika dibandingkan dengan aggregat belian sekitar $50 billion pada lewat 2014. Dengan kata lain, pada masa ini, secara aggregat spekulator besar dan dealer sedang bertarung untuk menentukan nilai Dollar seterusnya.

Apa yang menarik ialah, dengan kadar faedah yang rendah dan setara dengan matawang komoditi seperti AUD, CAD dan NZD; USD tidak lagi menjadi matawang simpanan jangka panjang melainkan untuk pelabur yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Beberapa pelabur besar yang kini telah berhijrah ke Asia dan Amerika Selatan kini dilihat lebih suka memegang AUD, SGD, MXN dan BRL, di samping EUR, GBP, CHF dan JPY yang lebih tinggi nilai tukarannya dengan matawang tempatan.

Kedudukan spekulator juga menunjukkan emas terus memacu dan mendapat permintaan tinggi dari pelabur termasuklah bank-bank pusat. Ini tidaklah menghairankan dengan keadaan politik dan ekonomi semasa yang sedang menanti keputusan vaksin virus korona dan apa yang akan dilakukan oleh Feds AS seterusnya selepas Pilihanraya Presiden AS pada November nanti.
Bank-bank pusat juga dilihat mula terlibat secara terus dalam pasaran ekuiti terutamanya untuk menyokong pasaran saham AS. Bank Pusat Switzerland (SNB) dan juga Bank Pusat Norway (Norges Bank) baru-baru ini melaporkan pegangan mereka dalam lebih 2,000 syarikat awam AS! Sesuatu yang besar sedang berlaku dan anda seharusnya bersedia untuk menghadapinya.
Artikel ini adalah sebahagian dari siri artikel Pilihanraya Presiden AS November ini. Baca lanjut artikel-artikel sebelum ini:
Pasaran sedang bersedia untuk kemenangan Demokrat?
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.