Dollar AS terus dijual sepanjang minggu lepas, dalam jumlah mencapai rekod lebih $2 billion apabila pelabur melihat risiko inflasi yang bakal melanda Amerika Syarikat. Namun apa yang lebih mengejutkan pasaran bukanlah penjualan Dollar, tetapi perletakan jawatan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, secara mengejut atas sebab kesihatan.
Parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP) memberikan sokongan penuh kepada setiausaha kabinet Yoshihide Suga dan sekiranya beliau dilantik, pelabur melihat beliau akan meneruskan polisi sebelumnya lantaran sokongan kuatnya kepada Abe sebelum ini. Dalam pada itu, ramai juga pengkritik melihat lawan Abe dalam LDP, Shigeru Ishiba, lebih berkaliber dan berkelayakan kerana sifatnya yang pro rakyat dan Asia.

Kadar faedah negatif yang terlalu lama telah membebankan penyimpan dan menyukarkan bank-bank Jepun untuk menjana keuntungan; dan yang lebih teruk lagi ialah ianya tidaklah memberikan kesan positif yang diharapkan kepada ekonomi Jepun. Malah, inflasi telah menurun selepas dua tahun kadar negatif dilancarkan sekitar 2016.
Spekulasi pasaran menunjukkan bahawa sekiranya Shigeru Ishiba terpilih, beliau akan memperkasakan ekonomi dan keselamatan Jepun lantaran minatnya yang mendalam terhadap ketenteraan dan pernah memegang jawatan Menteri Pertahanan walaupun singkat. Kadar faedah besar kemungkinan akan dinormalkan dan ini semestinya akan mengukuhkan Yen. Ini semestinya menggembirakan ramai rakyat Jepun dan pemegang Yen yang telah kerugian akibat kadar faedah negatif.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.