Daripada pelbagai tema pelaburan, lima menjadi pilihan popular dikalangan para pengurus dana dan pada mulanya saya agak terkejut apabila pertanian dan perlombongan menjadi pilihan. Namun, setelah melihat senarai saham-saham yang tersenarai pendek dan memilih 10 daripadanya, saya faham mengapa ia menjadi antara tarikan kepada portfolio pelaburan dana-dana besar seperti BlackRock, Vanguard dan Fidelity. (Baca lanjut disini)
Hari ini, mari kita lihat prestasi tiga saham yang telah terpilih berdasarkan pulangan dividen tertinggi, nisbah “price-to-earning-to-growth” (PEG) terendah dan “weighted alpha” tertinggi; sama ada belian adalah wajar pada hari tersebut (12/8) dan sekiranya belian dibuat apakah prestasinya selepas lebih 30 hari.
Pulangan Dividen Tertinggi – CF Industries (CF, NYSE)
CF menawarkan pulangan dividen tertinggi sekitar 3.38% dan hari ini mari kita lihat aspek teknikal saham tersebut. Pada 12/8 harga membuka pada $35.91, mencapai paras tertinggi $36.11 sebelum jatuh ke paras terendah $34.59 dan menutup pada $34.88.

Carta teknikal di atas jelas menunjukkan CF berada dalam struktur “uptrend” namun harga pada hari tersebut (12/8) telah pun mencapai rintangan pada “upper uptrend line” dan sebarang belian adalah lebih berisiko; sementara sebarang jualan pula adalah “counter trend” dan bersifat jangka pendek.
Sekiranya anda membeli pada $35 dengan tujuan untuk mendapatkan pembayaran dividen pada 31 Ogos lalu, sebanyak $0.30 sesaham, anda mendapat pulangan sekitar 0.85% sahaja untuk sebulan dan masih kerugian 4.95% (-5.8% + 0.85%) akibat kejatuhan harga sebanyak $2.03 ($35 – $32.97).
Sekiranya anda masih berminat membeli, adalah lebih baik menunggu harga menguji kawasan belian pada “lower uptrend line” sekitar $31-31.50.
Nisbah PEG Terendah – Corteva (CTVA, NYSE)
Harga CTVA pada 12/8 membuka pada $27.20, mencapai paras tertinggi $27.30 sebelum jatuh ke paras terendah $26.13 dan menutup pada $26.36. Sekiranya anda membeli pada $27 untuk menerima pembayaran dividen sebanyak $0.13 semalam (15/9), pulangan bulanan anda adalah sekitar 0.48% sahaja.
Namun dengan harga semasa, menutup sekitar $29.45 semalam, pulangan atas kenaikan harga adalah sekitar 9.07%; sekaligus menjadikan pulangan semasa sekitar 9.55%. Mari kita lihat pula sama ada pembelian pada hari tersebut (12/8) adalah wajar dan sama ada belian masih wajar hari ini (16/9).

Struktur harga menunjukkan CTVA berada dalam “uptrend”, namun pada 12/8 ianya masih dibawah garisan 3 EMAs (50, 100, 200 hari). Sebarang belian perlu meletakkan “stop loss” di bawah “swing low” terdekat iaitu sekitar $24.80 atau anda boleh menunggu sehingga harga kembali diatas 3 EMAs dan menggunakan harga terendah (sekitar $26.10) pada 12/8 sebagai “stop loss”.
Pada harga semasa, sekitar $29.45 ketika artikel ini ditulis, sebarang belian perlu meletakkan “stop loss” di bawah harga terendah pada 8/9 iaitu sekitar $28.20; sekaligus menjadikan risiko kerugian sebanyak $1.25 sesaham. Belian masih wajar kerana berada di atas garisan sokongan “uptrend” (garisan hijau putus-putus), namun berdepan dengan kenaikan harga yang terhad lantaran garisan rintangan “downtrend” (garisan merah).
Sasaran terdekat adalah pada $30, sederhana pada $31 dan “extended” pada $31.50; sekaligus menjadikan potensi pulangan sekitar $0.55 hingga $2.05 sesaham berdasarkan harga penutup semalam ($29.45). Dibandingkan dengan risiko $1.25, potensi pulangan belian (0.44R hingga 1.64R) tidaklah begitu memberansangkan untuk jangka panjang dan sederhana.
Weighted Alpha Tertinggi – Newmont Mining (NEM, NYSE)
Newmont sebagai syarikat perlombongan, mendapat tempias dari kenaikan harga emas dan perak yang melambung lantaran nilai Dolar AS yang merudum selepas Federal Reserve AS mengumumkan QE dalam menghadapi pandemik korona. Pada 12/8 harga membuka pada $64.22, mencapai paras tertinggi $64.38 sebelum jatuh ke paras terendah $62.45 dan menutup pada $62.75.

Melihat kepada carta teknikal di atas, harga berada dalam “uptrend” dan kejatuhan beberapa hari sebelum 12/8 bersifat sementara akibat pengambilan untung kerana harga masih bertahan dan kembali berada di atas garisan 3 EMAs. Sekiranya anda membeli pada $63, pembayaran dividen pada 24/9 nanti memberikan pulangan bulanan sekitar 0.4% sahaja.
Namun dengan harga semasa, sekitar $68.05 ketika artikel ini ditulis, pulangan atas kenaikan harga adalah sekitar 8.01%; sekaligus menjadikan pulangan semasa sekitar 8.41%. Sekiranya anda membeli pada hari ini, “stop loss” jangka pendek dilihat dibawah harga terendah pada 11/9 sekitar $65.80 dan “stop loss” jangka panjang di bawah harga terendah pada 8/9 sekitar $63.20 kerana harga masih berisiko untuk menguji garisan sokongan belian pada $65.50.
Sasaran boleh diletakkan pada $72 atau dimana pulangan adalah melebihi 2R. Saya tinggalkan segala kiraan untuk anda sesuaikan dengan horizon pelaburan dan toleransi risiko anda.
Kesimpulan
Pemilihan saham-saham di atas hanyalah berdasarkan metriks pelaburan sahaja. Sesuatu pelaburan mestilah juga mengambil kira objektif, horizon pelaburan dan juga toleransi risiko seseorang pelabur. Anda juga dapat saksikan bahawa pemilihan “stop loss” dan sasaran tidaklah sesusah mana, tetapi ia perlu disesuaikan dengan horizon pelaburan dan toleransi risiko anda.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.