Diam tak diam dah masuk minggu ke-39 tahun 2020. 12 minggu lagi tamatlah kitaran pelaburan bagi kebanyakan institusi pelaburan dan ramai para pengurus dana yang akan mengambil cuti tahunan sebelum “Thanksgiving” dan seterusnya Krismas. 10 minggu lalu, saya telah kongsikan 10 saham yang mendapat agihan modal tertinggi dan menjadi pilihan pengurus dana dan tiga telah terpilih berdasarkan pulangan dividen tertinggi, nisbah “price-to-earning-to-growth” (PEG) terendah dan “weighted alpha” tertinggi.
Hari ini, mari kita lihat aspek teknikal saham-saham tersebut, sama ada belian adalah wajar dan sekiranya belian dibuat pada 19/8 apakah prestasinya kini.
Pulangan Dividen Tertinggi – International Business Machine (IBM, NYSE)
Dengan pengumuman pembayaran dividen sebanyak $1.63 sesaham pada 28 Julai lalu, IBM menawarkan pulangan dividen tertinggi sekitar 5.22%; namun sebarang belian selepas tarikh ex-dividen pada 7 Ogos tidak melayakkan anda untuk menerimanya. Pada 19/8 harga membuka pada $124.83, mencapai paras tertinggi $125.50 sebelum jatuh ke paras terendah $123.50 dan menutup pada $123.84.

Melihat kepada struktur carta di atas, harga masih dalam pembetulan dengan pembentukan “diagonal” dan dengan keadaan “volume” yang berada dalam trend menurun, kebarangkaliannya adalah lebih tinggi untuk IBM menguji paras yang lebih rendah sekitar 38.2% fibonacci, $118.32, atau lebih rendah lagi, terutamanya dengan keadaan sentimen semasa.
Ketika ini, dengan harga semasa sekitar $120.51 ketika artikel ini ditulis; IBM berada pada sokongan kukuh (garisan hijau lintang) sekitar $118.22 dan sebarang belian bolehlah menggunakan sehingga $118 sebagai “stop loss”. Namun sekiranya anda seorang yang lebih berhati-hati dan tidak aggresif, anda akan menunggu sehingga harga kembali berada di atas “downtrendline” dan pivot sebelum membuat sebarang belian.
Nisbah PEG Terendah – Lam Research (LRCX, Nasdaq)
Antara sebab yang menjadikan saham LRCX ini meletop adalah kerana ia telah mengumumkan pendapatan yang melebihi jangkaan pasaran baru-baru ini. Dan yang lebih mengujakan pelabur ialah apabila ia mengumumkan peningkatan pembayaran dividen sebanyak 13% (dari $1.15 kepada $1.30) pada 27/8 lalu dengan tarikh ex-dividen pada 29/9 dan pembayaran pada 14/10.
Jadi sekiranya anda membeli hari ini atau sebelum tarikh ex-dividen, dengan harga semasa sekitar $318.70, anda layak menerima pulangan sekitar 0.4% untuk kurang dari dua minggu. Mari kita lihat struktur harga semasa dan juga pada 19/8.

Struktur harga semasa menunjukkan LRCX baru sahaja menyempurnakan pembetulan dan terdapat sokongan kukuh sekitar $300 dengan pembentukan “double bottom” yang boleh digunakan sebagai “stop loss” untuk belian. Sasaran wajar dilihat pada garisan rintangan utama sekitar $342; sekaligus menjadikan $42 ($342 – $300) sebagai kawasan dagangan. Untuk menjadikan dagangan ini mempunyai nisbah “risk/reward” 1:2 (2R), anda perlu membeli pada $314 [300 + (42/3)] yang boleh dijadikan “buy limit”.
Sekiranya anda membeli pada $318.70 hari ini, ia memberikan potensi pulangan sekitar 1.25R sahaja. Untuk mengurangkan risiko, belian boleh di buat separuh pada “buy limit” dan separuh lagi pada harga semasa dengan satu sasaran pada $342 dan satu lagi dengan sasaran terbuka. Apa yang jelas,pembelian pada 19/8 adalah tidak wajar kerana harga telah pun mencapai kemuncak rintangan dan lebih sesuai untuk jualan.
Weighted Alpha Tertinggi – Lam Research (LRCX, Nasdaq)
Memandangkan LRCX telah pun terpilih atas sebab PEG terendah, maka saya memilih Qualcomm (QCOM) yang berada pada tangga kedua dalam metriks weighted alpha. Jika dibandingkan dari sudut pulangan dividen, QCOM (2.32%) juga lebih baik dari LRCX (1.23%), lantaran harganya yang lebih rendah. Pada 19/8 harga QCOM membuka pada $111.73, mencapai paras tertinggi $112.87 sebelum jatuh ke paras terendah $110.16 dan menutup pada $110.45.

Sebarang belian pada 19/8 adalah pada “pullback” dalam uptrend dan boleh meletakkan “swing low” terdekat sekitar $104.20 sebagai “stop loss”. Sekiranya anda membeli pada $111, ini memberikan anda risiko sebanyak $6.80 ($111 – $104.20) sesaham. Untuk memberikan pulangan 2R anda perlu meletakkan sasaran pada $124.60 [111 + 2(6.8)] yang tidak dapat dicapai kerana harga tertinggi pada 2/9 hanyalah sekitar $123.93 sahaja. Jadi anda perlulah sentiasa menguruskan “stop loss” dagangan dengan baik supaya keuntungan tidak berubah menjadi kerugian.
Hari ini, pada harga sekitar $112.97 ketika artikel ini ditulis, sebarang belian masih wajar kerana terdapat sokongan kukuh (garisan hijau lintang) pada $110.15 dan “stop loss” boleh diletakan di bawah “swing low” terdekat pada 21/9 sekitar $108.20; sekaligus memberikan risiko sebanyak $4.80 sesaham sekiranya anda membeli pada $113. Dengan sasaran wajar pada garisan rintangan utama (garisan merah lintang) sekitar $123.50 ini memberikan potensi pulangan sekitar 2.18R.
Namun begitu, pembentukan corak “head and shoulder” ini memberikan “signal” bahawa “uptrend” hampir atau telah pun berakhir. Lebih baik menunggu sehingga harga memecah “downtrend line” (garisan merah putus-putus) dan kembali di atas “pivot” sebelum membuat sebarang belian. Atau sekiranya anda lebih berminat menjual, boleh meletakkan “stop loss” pada “swing high” terdekat pada 16/9 sekitar $118 dan gunakan kaedah 2R sebagai sasaran jualan.
Kesimpulan
Anda dapat saksikan bahawa pemilihan “stop loss”, sasaran dan kaedah kawalan risiko banyak bergantung kepada faktor personaliti seorang pelabur. Seorang pelabur yang agresif dan suka mengambil risiko, tidak akan kisah dengan pelaburan yang sedikit kerugian tetapi mempunyai pulangan besar. Namun seorang yang lebih berhati-hati akan lebih banyak menunggu untuk memastikan bahawa sesuatu dagangan itu lebih berpotensi untuk mencapai sasaran.
Untuk itu, platform dagangan menyediakan kaedah order yang pelbagai seperti “buy/sell limit” yang lebih sesuai untuk pelabur agresif dan “buy/sell stop” untuk pelabur yang lebih berhati-hati dan suka menunggu sehingga harga memecah sesuatu paras dalam mempastikan hala tuju dagangan. Anda juga boleh menggunakan pesanan “good-till-cancel” (GTC) atau “one-cancel-the-other” (OCO) serta “trailing stop” untuk kaedah kawalan risiko yang lebih dinamik.
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.