Hari ini tibalah giliran industri terbaru – Blokchain dan Sekuriti Siber – untuk kita lihat aspek teknikal tiga saham yang telah terpilih berdasarkan pulangan dividen tertinggi, nisbah “price-to-earning-to-growth” (PEG) terendah dan “weighted alpha” tertinggi. Insya ALLAH, saya akan kupas aspek teknikal matawang krypto dalam artikel lain yang lebih khusus supaya lebih terkait dengan artikel-artikel berkenaan matawang tersebut.

Memandangkan industri ini ada terkait dengan pengkomputeran, maka tidak hairan jika ada syarikat dalam senarai ini juga terdapat dalam tema revolusi 5G, AI dan Robotik. Mari kita lihat apakah tiga saham tersebut lebih baik dibeli atau dijual pada 26/8 dan bagaimana kedudukan teknikal hari ini.

Pulangan Dividen Tertinggi – Cisco System (CSCO, Nasdaq)

Cisco, antara pembekal peralatan rangkaian komputer yang terulung di dunia, adalah antara syarikat yang menggunakan kalendar fiskal kerajaan AS dimana tahunnya berakhir pada bulan September. Pembayaran dividen suku ke-empat telah diumumkan pada 9/9 yang lalu dan dengan tarikh ex-dividen esok (1/10), jika anda membeli hari ini, anda layak menerima pembayaran dividen sebanyak $0.36 sesaham pada 21/10.

Melihat kepada carta teknikal di atas, struktur harga jelas berada dalam “downtrend” dan pada 26/8 kedudukan harga lebih sesuai untuk jualan. Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang itu, tetapi hari ini dengan kedudukan harga yang telah pun melambung dari paras 61.8% fibonacci (sekitar $38.12) saya melihat saham ini lebih sesuai untuk belian dengan “stop loss” di bawah $38 dan sasaran terbuka.

Pembelian pada harga semasa, sekitar $39.51 ketika artikel ini ditulis, akan memberikan risiko $1.51 sesaham. Jadi anda perlu letakkan sasaran sekurang-kurangnya 2R iaitu sekitar $42.53 [$39.51 + 2(1.51)] atau boleh sahaja “manual trailing stop loss” pada setiap “swing low” untuk memaksimakan keuntungan. Anda juga boleh membuka separuh posisi pada harga semasa dan separuh lagi dengan “buy limit” untuk mengurangkan risiko.

Nisbah PEG Terendah – Intel Corp (INTC, Nasdaq)

Dengan harga semasa sekitar $51.90/$52, INTC adalah lebih murah dengan nisbah PEG sekitar 1.41 berbanding CSCO pada 2.09 kali. Namun begitu, pulangan dividen CSCO adalah lebih tinggi dari INTC lantaran harganya yang lebih murah. Melihat kepada struktur harga di bawah, pada 26/8 harga telah pun berada pada sokongan kukuh (garisan hijau lintang) dan dengan kembalinya harga di atas pivot bulanan, ini menunjukkan harga sedang dalam perjalanan “uptrend” yang baru.

Persoalannya sekarang, apakah harga semasa wajar atau lebih baik menunggu “pullback” sebelum membuat sebarang belian. Untuk itu, mari kita lihat carta pada “timeframe” yang lebih rendah untuk melihat dengan lebih jelas.

Carta 1 jam menunjukkan harga telah membuat “5 wave impulse” dan satu “pullback” dijangka dengan struktur 3 wave dimana harga dijangka melambung semula pada paras $49.80 – $50.30 yang boleh dijadikan kawasan belian. “Stop loss” bolehlah diletakkan di bawah permulaan wave i sekitar $48.40. Sasaran, saya pulangkan pada anda untuk menentukannya.

Weighted Alpha Tertinggi – Nvidia (NVDA, Nasdaq)

NVDA merudum ke sekitar $200 pada Mac lalu, tetapi kini memacu lebih 150% dalam masa tidak sampai enam bulan. Namun dengan PEG lebih empat kali (4.14) dan PE (Price/Earnings) lebih 90 kali (92.2) tidak hairanlah ianya lebih banyak dicairkan oleh pelabur institusi yang mengambil untung belian. Pada 26/8 harga telah pun mencapai paras rintangan dan sekiranya anda menjual ketika itu, kerugian menjadi milik anda.

Pada harga semasa, sekitar $541.74 ketika artikel ini ditulis, lambungan harga dari paras terendah bulan September (sekitar $468.17) telah pun mencapai paras rintangan. Namun, itu tidak bermakna saya akan menjual sekarang; kerana sekiranya saya menjual, “stop loss” perlu diletakkan di atas paras tertinggi bulan September sekitar $589.10 dan itu merupakan risiko yang tidak perlu melainkan anda seorang pelabur yang aggresif.

Seorang pelabur yang berhati-hati akan menunggu sehingga harga kembali di bawah pivot bulanan dan memecah “swing low” di paras terendah bulan September sebelum memasuki kontrak jualan.

Kesimpulan

Keadaan pandemik semasa telah mendorong pelabur membida saham-saham berkaitan teknologi, lantaran trend bekerja dari rumah, ke paras harga yang adakalanya tidak selari dengan faktor fundamental. Sebagai contoh, NVDA yang kini berada lebih 90 kali dari pendapatan (nisbah P/E) adalah terlalu mahal berbanding dengan penilaian yang dibuat berdasarkan “discounted cash flow” (DCF) yang hanya meletakkan saham tersebut sekitar $180 sahaja.

Namun itu tidak bermakna anda perlu terus menjual kerana kegilaan pelabur mungkin akan berterusan dan lebih lama dari kemampuan akaun anda menampung kerugian terapung. Jadilah pelabur yang bijak dengan hanya mengambil risiko yang perlu dan sepadan dengan toleransi risiko dan objektif serta horizon pelaburan anda.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »