Siapa sangka suatu ketika dahulu emas dan perak yang menjadi alat untuk menggantikan sistem barter, kini telah dikuasai oleh matawang kertas; dan selepas abad ke-21, kini manusia mula berfikir menggunakan krypto atau matawang digital untuk menyimpan nilai dan membuat pembayaran. Emas dan perak, menjadi komoditi untuk perkilangan dan industri serta hanya menjadi alat untuk pelaburan masa krisis. Dunia berubah.
Bercerita fasal matawang krypto, baru-baru ini Bank Pusat Eropah (ECB) mengeluarkan kenyataan untuk memulakan projek digital Euro. Cuma persoalannya, apakah digital Euro ini akan terhad atau boleh sahaja dihasilkan tanpa had seperti matawang kertas kini. Ini lah yang menjadi tarikan matawang krypto, seperti bitcoin, yang hanya meletakkan sejumlah angka sebagai had maksimum matawang dalam kitaran.
Walaupun terdapat banyak pihak yang mengeluarkan matawang krypto baru (coins), hanya ada tiga sahaja yang mendapat agihan modal tertinggi dalam pasaran. Dengan kata lain, tiga matawang krypto ini banyak diguna pakai dan menerima sambutan yang baik. Walaupun sebelum ini saya menyenaraikan lima matawang krypto, tetapi hari ini kita hanya akan nilai tiga sahaja yang mendapat agihan modal tertinggi.
Bitcoin (BTC, BCH) – bitcoin.org
Fikir saya, tak perlulah dikenalkan bitcoin sebab boleh dikatakan ramai yang telah tahu. Cuma sekitar Ogos 2017, telah wujud satu pecahan dari bitcoin iaitu bitcoin cash. Tiada banyak beza antara keduanya selain dari perbezaan teknikal dan falsafah. (Anda boleh baca disini atau google untuk lebih maklumat lanjut) Jom, kita tengok aspek teknikal hari ini bagaimana.

Melihat kepada carta di atas, harga bitcoin berada dalam keadaan neutral, “sideways” dan sedikit “bearish” lantaran kedudukan harga yang berada di bawah garisan rintangan dan pivot bulanan. Sekiranya anda berminat membeli, adalah lebih baik tunggu hingga harga kembali di atas $10,900 dan letakkan “stop loss” sedikit di bawah garisan sokongan, sekitar $10,370. Sasaran bolehlah dikira dengan kaedah 2 kali risiko atau lebih, supaya mendapat pulangan yang berbaloi.
Ethereum (ETH) – ethereum.org
Dikeluarkan oleh yayasan Ethereum yang berpangkalan di Switzerland, ethereum berbeza dari bitcoin kerana ETH boleh diprogramkan, maka ia tidak mempunyai had maksimum; sekaligus menjadikannya seperti matawang fiat dalam bentuk digital. (Anda boleh baca disini atau google untuk lebih maklumat lanjut) Jom, kita tengok aspek teknikal hari ini bagaimana.

Kelihatan jelas ETH berada dalam peperangan antara “bulls” dan “bears” lantaran bentuk “pennant” yang terlukis di carta harian. Kini berada di garisan sokongan sekitar $338.50 dan garisan EMA 100 hari, menanti pembeli untuk membida harga. Sekiranya ia kembali di atas garisan EMA 50 hari dan memecah garisan rintangan, itu adalah petanda pembeli telah menguasai pasaran.
Ripple (XRP) – ripple.com
Fungsi Ripple lebih cenderung kepada sistem pembayaran daripada matawang krypto. Ianya tidak mempunyai bekalan maksimum seperti bitcoin dan direka cipta untuk menyokong transaksi antara bank dan institusi kewangan besar seperti JPMorgan dan American Express. Dengan kata lain, ia adalah matawang digital peribadi yang masih serupa seperti matawang fiat yang lain, cuma tidak dikeluarkan oleh sesebuah negara. (Anda boleh baca disini atau google untuk lebih maklumat lanjut)

Corak carta “inverse head and shoulder” menunjukkan XRP sedang dalam perjalanan kembali ke “uptrend”. Dengan harga yang telah kelihatan menguji pivot bulanan, itu satu petanda bahawa pembeli sedang membida dan cuba menguasai pasaran. Belian boleh dilakukan selama mana “stop loss” pada $0.2270 masih teguh.
Artikel berikut boleh membantu anda memahami pelaburan dalam matawang krypto:
Krypto Menanti Masa Untuk Terbang Semula
JP Morgan Akhirnya Lancar Bitcoin
NOTA:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.
