Tidak dinafikan selalunya kita memulakan trading atau berdagang untuk menjana wang. Lagipun, apalah salahnya untuk menambah pendapatan bagi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada diri anda dan keluarga. Tetapi, apakah trading ini sebenarnya semata-mata kerana duit? Anda mungkin telah pun menyedari bahawa trading mendatangkan banyak manfaat bukan sahaja kewangan, tetapi menjadikan anda insan yang lebih baik.

Pertama: Disiplin

Awalnya anda selalu lihat promosi, bahawa trading ini mudah dan boleh buat beribu-ribu pips sebulan. Anda boleh jadi kaya sekelip mata. Tetapi setelah beberapa lama, anda sedar bahawa ianya tidaklah semudah yang disangkakan. Anda juga boleh jadi kayap dalam sekelip mata. Anda sedar bahawa seperti juga sukan dan kerjaya berprestasi tinggi yang lain, trading ini adalah satu kemahiran yang perlukan latihan dan disiplin. Untuk mendapatkannya, anda perlukan perancangan dan perlaksanaan untuk menjadikan ianya satu tabiat yang membawa keuntungan.

Disiplin boleh dibina dengan mempunyai proses dagangan dalam mengkaji faktor fundamental, teknikal dan sentimen serta mematuhi pelan dagangan dan juga mempunyai jurnal dagangan. Trading tanpa disiplin dan proses, adalah sama seperti suatu perjudian.

Kedua: Keluar Dari Zon Selesa

Bagi kebanyakan orang, merisikokan dana bukanlah suatu perkara yang disukai, kerana siapalah yang suka hilang sesuatu setelah ianya penat dicari. Siapa yang sanggup rugi? Inilah juga yang menyebabkan ramai trader a) menutup dagangan yang mengutungkan terlalu cepat kerana takut ianya menjadi rugi atau b) tidak mengurangkan kerugian dengan “cut loss” atau “stop loss” kerana berharap ianya akan kembali menguntungkan. Ramai yang lebih selesa untuk berharap untung dari mengurangkan kerugian.

Seorang ahli psikologi trading, Dr. Brett Steenbarger, pernah berkata pembangunan insan selalunya lahir di luar zon selesa. Sama ada di dalam gym atau kareer, anda tidak akan dapat bangunkan diri anda dengan berada dalam zon selesa.

Jadi, sama ada matlamat anda adalah menjana lebih pendapatan, menjadi lebih sihat, atau mendapatkan lebih ramai pelanggan dan menjadi “sales person” yang hebat; anda perlu lebih fokus and mendorong diri untuk membiarkan dagangan yang menguntungkan terus berjalan, menambah rutin latihan di gym, atau kerap hubungi pelanggan sedia ada untuk membina hubungan yang baik dan mendapatkan lebih referal.

Ketiga: Keseimbangan Emosi

Kami percaya ramai antara anda yang telah kecewa kerana terlalu yakin. Anda terlalu yakin dengan analisa guru anda dan percaya beliau tidak akan salah; jadi anda tidak membuat analisa sendiri dan terus mengambil dagangan dengan lot gajah. Tanpa disedari, apa yang awalnya menguntungkan kini menjadi rugi kerana anda tidak menguruskan dagangan dengan baik dan mengambil risiko lebih dari sepatutnya. Kerugian besar menjadikan anda tidak berani untuk berdagang dan tidak yakin dengan diri sendiri.

Analisa anda memberikan “setup” yang baik, tetapi kerana anda telah kerugian lima kali berturut-turut sebelum ini, anda menjadi takut dan tidak mengambil dagangan tersebut. Ya, seperti mana biasa, dagangan tersebut berjaya mencapai sasaran dan anda hlang peluang untuk menjana pendapatan kerana takut. Aduh!

Dalam trading, kita belajar bahawa kesederhanaan itu penting. Tidak perlu terlalu ego bila untung, ataupun terlalu murung bila rugi. Akhirnya kita juga belajar bahawa minda terbaik adalah minda yang sentiasa tenang dan damai. Ini juga adalah benar dalam aspek kehidupan yang lain. Ramai yang membuat keputusan yang salah bila mereka terlalu beremosi. Mereka dipergunakan bila terlalu yakin dan hilang peluang bila terlalu takut.

Walaupun untung itu penting dalam berdagang, kita juga perlulah ingat bahawa ianya juga membawa banyak manfaat lain. Jadi janganlah terlalu fokus kepada untung rugi sahaja, tetapi fokuslah juga kepada bagaimana anda berdagang dan apa yang dapat anda pelajari dari aktiviti dagangan anda.

 

Nota:

Artikel ini telah diterjemah dan diadaptasi daripada artikel asal berbahasa Inggeris Dr. Pipslow di BabyPips. Anda boleh membacanya di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate ยป