Berniaga atau berdagang, tidak dinafikan adalah salah satu dari kerjaya yang paling sukar untuk anda pilih. Maklumlah, ianya melibatkan bekerja dalam keadaan yang penuh dengan ketidaktentuan. Anda berdepan dengan sebarang kemungkinan yang boleh membawa kepada kejayaan ataupun sebaliknya. Hari ini anda mengambil peluang atau “setup” yang biasa anda ambil dan meraih keuntungan. Esok, anda mengambil peluang yang sebijik sama, namun kerugian. Anda bingung. Ya, itulah yang dinamakan kebarangkalian.
Oleh kerana fitrah dalam berdagang dan kesannya ke atas minda, adalah amat penting untuk trader mempunyai minda yang kental dan keyakinan diri yang tinggi. Pada asasnya, saya percaya keyakinan diri adalah kemampuan untuk memberikan fokus yang aktif kepada PRESTASI yang lebih baik (bukannya kejayaan) dan hindarkan daripada berfikiran negatif seperti runsing dan takut. Saya tekankan perkataan prestasi kerana fokus kepada kejayaan boleh membuatkan anda terlebih yakin atau terlalu bangga, seterusnya membawa kepada pilihan dagangan yang teruk.
Namun, dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah-rubah, dan kerugian yang berterusan yang anda hadapi, bagaimanakah boleh kekalkan keyakinan diri?
Pertama: Fokus kepada proses
Boleh dikatakan setiap trader yang saya kenal memilih trading sebagai kerjaya untuk menjana pendapatan; sama ada sampingan atau sepenuh masa. Tetapi, seperti mana yang saya pernah katakan dalam blog saya sebelum ini, terlalu fokus kepada keuntungan boleh membawa padah kepada akaun dagangan anda. Ini kerana pasaran selalu tidak dapat dijangka. Tiada yang pasti bahawa dagangan anda akan menguntungkan atau menerima kerugian. Oleh itu, bukankah lebih baik fokuskan tenaga dan minda anda kepada mematuhi pelan dagangan yang telah dirancang?
Anda tidak perlu taksub dengan hasil dagangan anda, sama ada ianya untung atau rugi. Sebaliknya, fikirkan setiap langkah di mana anda berjaya mematuhi pelan dagangan anda. Setiap kali anda mematuhinya, ianya adalah satu kejayaan yang tersendiri. Jadi, ucapkan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya sabar dalam menunggu sehingga “trade setup” anda sempurna sebelum membuat order ataupun menutup semua dagangan sebelum hujung minggu sekiranya anda seorang pelabur jangka pendek.
Anda mungkin tidak nampak hasilnya dalam sekelip mata, namun dalam jangka masa panjang, disiplin ini akan menjadikan anda konsisten dan kurang membuat kesilapan, serta lebih yakin dalam berdagang dan akhirnya meraih keuntungan.
Kedua: Praktis, praktis dan terus praktis
Tahukah anda kenapa juara tinju Floyd Mayweather berlatih tinju berminggu-minggu hanya untuk bertarung di atas gelanggan dalam masa tidak sampai 36 minit? Ini adalah kerana, melalui persediaan beliau menjana keyakinan dalam kepakaran bertinju. Beliau tidak tahu apakah rancangan lawan untuk menumbangkannya. Namun dengan praktis yang tekun, beliau telah menguasai kemahiran asas tinju, pergerakan badannya, dan bersiap sedia menghadapi apa jua tumbukan yang bakal datang melayang.
Sebagai seorang trader, anda tidak tahu apa yang akan mempengaruhi sentimen dan bagaimana pasaran akan bertindak balas. Maka ini bermakna, kunci kepada keyakinan dan kejayaan adalah mempersiapkan diri anda setiap hari sehingga anda tahu anda boleh menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal terjadi dalam pasaran.
Ketiga: Positif dan optimis
Tanya diri anda, “dalam semua orang yang berkeyakinan tinggi yang telah anda ditemui selama ini, berapa ramaikah daripada mereka yang mempunyai pandangan atau sikap negatif?” Saya percaya jawapannya sangat sedikit ataupun mungkin tiada langsung. Orang-orang yang berjaya dan yakin selalunya lebih positif dan mempunyai sikap optimis, kerana apabila anda fokus kepada positif, anda akan lebh cenderung untuk mendapatkan hasil yang positif. Ini bukanlah pula bermaksud anda tidak akan gagal atau tiada negatif langsung! tetapi kegagalan itulah yang akan meransang anda untuk lebih tekun dan memacu ke depan.
Jadi, janganlah rasa teruk dan merajuk atau menangis di bucu katil ketika anda dalam kerugian. Tetapi, positiflah dan optimis dengan melihat sama ada anda telah berjaya mematuhi pelan dagangan anda dengan baik. Ingatkan lah juga diri anda, sekiranya anda mempunyai pelan dagangan dan strategi pengurusan risiko yang telah teruji, secara purata anda akan berjaya dan meraih keuntungan.
Salah satu caranya ialah dengan fokus kepada langkah yang telah anda ikuti dengan patuh dalam dagangan anda, terutamanya apabila dagangan tersebut sedang dalam kerugian dan menghampiri “stop loss” anda.
- “Semak kalendar ekonomi terkini?” – check
- “Analisa carta bulanan, mingguan dan harian?” – check
- “Kawal risiko?” – check
Dengan memastikan anda telah mebuat segala persediaan yang wajar, anda akan sedari bahawa kerugian akan datang walaupun bagaimana hebat anda bersedia. Ini akan mengurangkan ketakutan anda terhadap kerugian, sekaligus memberikan anda keyakinan diri untuk mengambil “trade setup” yang telah dirancang dan bertindak atas keputusan yang bijak.
Seperti mana membangunkan kemahiran berdagang, membina keyakinan diri tidaklah semudah yang diperkatakan dan memerlukan usaha yang gigih tanpa mengenal jemu dan putus asa. Saya percaya untuk menjadi seorang trader yang berjaya, anda juga perlukan sedikit keberanian untuk berperang di atas carta. Lagipun, anda tentu tidak mahu pergi bejuang tetapi takut dan asyik menyorok di bawah perisai bukan?
Nota:
Artikel ini telah diterjemah dan diadaptasi daripada artikel asal berbahasa Inggeris Dr. Pipslow di BabyPips. Anda boleh membacanya di sini.