Sekitar April tahun lepas, di tengah-tengah keributan pandemik covid-19 melanda serata dunia; pelbagai saham boleh didapati dengan murah. Lebih murah dari harga empat biji sport rim dan Alhamdulillah, saya mendapat rezeki membeli sedikit saham Ford (F, NYSE) pada harga sekitar $5.10 dan sekitar September saya telah menjual sebahagian pada harga $7.29 dan sebahagian lagi sekitar Disember pada harga $9.29 kerana melihat harga mencapai paras “supply”. Saya langsung tidak menyangka harga akan mencapai lebih $15 pada Jun lepas.

Apapun, siapalah yang mengetahui masa depan selain Tuhan bukan? Dan kini saya melihat Ford berada di paras kritikal sama ada ia akan meneruskan pacuan atau membuat “pullback”. Hari ini UBS menurunkan harga sasaran dari $16 kepada $15 dan S&P menarafkan Ford pada 44% di bawah “fair value”, sekaligus meletakkan “fair value” sekitar $19.80. Nah! Namun begitu, ini tidaklah bermaksud saya akan terus masuk membeli semula dan menanti harga mencapai paras “fair value” kerana melihat kepada pergerakan harga berdasarkan “elliot wave”; besar kemungkinan Ford akan membuat “pullback” sebelum memacu semula. Adakah ini satu jaminan? Tentu tidak!

Persoalannya kini, apa yang membuatkan pelabur membida saham Ford adalah kerana promosi kereta lagendanya Ford Mustang, dengan versi elektrik, model Mach-E yang akan berada di pasaran seawal musim luruh ini. Tentu ianya satu cabaran buat Tesla kerana Ford Mustang memang kereta lagenda yang mempunyai peminat yang ramai di seluruh dunia! Jualan Mustang Mach-E ini tentu akan memberi nafas baru kepada Ford, selain dari “Truck” F-150 versi elektrik yang memang mengujakan!

Apapun, kepada anda yang lebih berminat mengambil risiko menjual saham Ford, Trading Central melihat kejatuhan harga dalam masa terdekat, selama mana harga berada di bawah pivot $14.40 dengan sasaran pada $12.50 dan $12.10. Sekiranya harga memecah pivot, besar kemungkinan ianya akan menguji paras rintangan pada $15.20 dan $15.70

Saya melihat paras kritikal adalah pada $13.50 di mana sekiranya harga menutup di bawah paras tersebut, ianya menunjukkan pembeli-pembeli awal kini mengambil untung dan akan terus mengambil untung sehingga harga mencapai $11.50 iaitu paras  38.2% fibonacci dari harga terendah 2020 sehingga harga tertinggi 2021. Buat masa ini, saya melihat masih ada risiko untuk saham Ford melonjak kerana pasaran masih menunggu Mustang Mach-E untuk berada di jalan raya pada musim luruh ini dan menyaksikan prestasinya.


NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »