Kuala Lumpur, Malaysia – November 25. Nilai Ringgit terus kukuh berbanding Dollar AS selepas pasaran terus yakin bahawa Bank Pusat AS akan mengurangkan kenaikan kadar faedah berdasarkan minit mesyuarat FOMC baru-baru ini. Sepanjang tahun ini, telah dua kali nilai Ringgit dilonjak naik oleh para pelabur yang melihat potensi ekonomi Malaysia untuk kembali kukuh selepas pilihanraya ke-15.

Pada carta MYR/USD di atas jelas pada 16 Mei dan 19 September lalu, nilai Ringgit telah dibida hampir setinggi 24 sen AS sebelum kembali jatuh apabila kerajaan pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri mengumumkan pilihanraya umum pada awal bulan November lalu. Ringgit memacu selepas Bank Pusat AS mengumumkan bahawa kenaikan kadar faedah mungkin terpaksa diperlahankan untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi.
Pilihanraya umum yang ke-15 menyaksikan Ringgit kembali lemah apabila ketidaktentuan suasana politik menyebabkan para pelabur tidak memasuki pasaran tempatan. Dengan para pelabur AS yang kini mencari peluang pelaburan di luar negara yang dilihat boleh menawarkan pulangan yang lebih baik, lantaran nilai Dollar yang kini masih tinggi, Malaysia dilihat antara negara yang berpotensi. Ringgit dijangka kukuh selama mana Bank Pusat AS kekal dengan polisi kewangan semasa.
AMARAN RISIKO:
Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.