Pasaran Sedang Bersedia Untuk Kemenangan Demokrat?

Empat bulan lamanya pasaran saham AS terus memacu naik, selepas dua bulan merudum kesan dari pandemik virus korona. Indeks S&P500 yang berada pada paras tertinggi menghampiri 3,395 mata pada awal Februari lalu dan merudum ke paras terendah sekitar 2,190 mata pada bulan Mac; hari ini menghampiri paras 3,380 mata dan “order flow” menunjukkan besar kemungkinan ianya akan membuat paras tertinggi tahunan yang baru.

Indeks S&P500 yang merangkumi lebih 80% nilai pasaran saham Amerika Syarikat, kini berhadapan dengan “liquidation” dari pelabur yang mahu mengambil peluang mencairkan pegangan belian mereka apabila saham-saham komponen indeks ini kembali ke paras yang lebih baik untuk dicairkan. Awal Ogos lalu, Jeff Bezos, CEO Amazon (AMZN) dilaporkan mencairkan hampir sejuta sahamnya dengan nilai hampir $3 bilion. Dengan jualan itu, pegangan beliau masih lebih 54 juta saham dan merupakan pemegang saham terbesar.

Dalam pada itu, persoalannya sekarang apakah pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada November ini akan merubah arah pasaran dan sentimen pelabur? Menurut kebarangkalian dari pelbagai sumber statistik, Demokrat akan kembali berkuasa. Namun begitu, tidak kita nafikan, begitulah juga kiraannya sebelum Hilary Clinton diisytiharkan kalah!

Sembang-sembang dengan beberapa rakan pelabur dan trader institusi baru-baru ini, mereka melihat pasaran saham akan merudum sekiranya Demokrat kembali menguasai kongres AS dan Rumah Putih. Besar kemungkinan Demokrat akan membatalkan Akta Pemotongan Cukai dan Pekerjaan AS yang ditanda-tangani oleh Presiden Trump pada 2017.

Akta yang menurunkan cukai korporat dari 35% kepada 21% dan juga cukai pendapatan itu, adalah antara pemangkin yang melonjakkan pasaran saham AS. Dengan pembatalan akta tersebut, tidak hairanlah jika pelabur mencairkan pegangan belian mereka untuk mengelakkan dari kerugian teruk. Untung sedikit lebih baik dari tiada keuntungan atau lebih teruk, kerugian.

 

NOTA:

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate ยป