Hari saham datang lagi dan kali ini kita akan lihat pula apakah saham-saham dalam industri 5G, AI dan Robotik yang akan mendapat Top 3 setelah disenarai pendek pada minggu yang ke-29. Jom kita tengok barchart:

Sumber: Barchart

Nampaknya Intel (INTC) masih menduduki tempat pertama, diikuti oleh Qualcomm (QCOM) dan Analog Devices (ADI). Namun kedudukan ini hanya berdasarkan agihan modal sahaja. Mari kita lihat bagaimana pula kedudukan 10 saham-saham tersebut apabila kita menggunakan metriks pulangan dividen tertinggi, nisbah “price-to-earning-to-growth” (PEG) terendah dan “weighted alpha” tertinggi:

Pulangan Dividen Tertinggi – International Business Machine (IBM, NYSE)

Pelabur mana yang tidak kenal dengan syarikat gergasi IBM bukan? Dengan pengumuman pembayaran dividen sebanyak $1.63 sesaham pada 28 Julai lalu, pada harga semasa sekitar $124.95, IBM menawarkan pulangan dividen tertinggi sekitar 5.22%. Tarikh Ex-Dividend bagi saham ini ialah pada 7 Ogos lalu, jadi sekiranya anda membeli pada hari ini (19/8) anda tidak layak untuk menerima pembayaran dividen pada 10 September. Namun begitu, pembayaran dividen adalah pada setiap suku. Jadi masih ada suku ke-empat untuk tahun ini.

Berikut adalah senarai Top 10 Pegangan Institusi sehingga 30 Jun 2020:

Nisbah PEG Terendah – Lam Research (LRCX, Nasdaq)

Kebanyakan syarikat dalam senarai Top 10 ini bukanlah syarikat baru, jadi hampir semua dapat dikira jangkaan peningkatan pendapatan (earnings growth). IBM contohnya telah wujud sejak tahun 1920an lagi dan Intel sekitar lewat 60an. Lam Research, walaupun hanya kini baru popular, tetapi telah wujud sejak tahun 1980an lagi. Pada harga semasa sekitar $374.60 sesaham, LRCX dengan nisbah 1.18 kali, masih murah berdasarkan jangkaan peningkatan pendapatan (earnings growth).

Antara sebab yang menjadikan saham LRCX ini meletop adalah kerana ia telah mengumumkan pendapatan yang melebihi jangkaan pasaran baru-baru ini. Pembayaran dividen suku kedua sebanyak $1.15 telah dibuat pada 7 Ogos lalu; sekaligus memberikan pulangan sekitar 1.23%. Namun begitu, untuk “income portfolio”, IBM menawarkan pulangan yang lebih baik. Berikut adalah senarai Top 10 Pegangan Institusi sehingga 30 Jun 2020:

Weighted Alpha Tertinggi – Lam Research (LRCX, Nasdaq)

Apabila virus korona diisytiharkan sebagai pandemik oleh Badan Kesihatan Dunia pada pertengahan Februari lalu, Lam Research adalah antara syarikat yang terjejas teruk apabila sahamnya merudum dari lebih $340 kepada sekitar $186 dalam masa sebulan. Peluang ini digunakan oleh mereka yang mengetahui bahawa syarikat teknologi ini akan mendapat tempias dari trend “work from home”. Jadi tidak hairanlah jika ia juga mempunyai weight alpha tertinggi.

Untuk itu, saya akan memilih satu lagi saham iaitu Qualcomm (QCOM) yang berada pada tangga kedua dalam metriks weighted alpha. Jika dibandingkan dari sudut pulangan dividen, QCOM (2.32%) juga lebih baik dari LRCX (1.23%), lantaran harganya yang lebih rendah. Qualcomm telah mengumumkan pembayaran dividen suku ketiga sebanyak $0.65 pada 15 Julai lalu dan tarikh Ex-Dividend bagi saham ini ialah pada 2 September.

Jadi masih banyak masa untuk membuat keputusan, sekiranya anda berminat untuk menerima pembayaran dividen pada 24 September nanti. Berikut adalah senarai Top 10 Pegangan Institusi QCOM sehingga 30 Jun 2020:

Untuk Top 3, bolehlah kita senarai kan IBM, LRCX, dan QCOM. Dengan izin Tuhan, empat ke lima minggu lagi kita lihat pula sama ada belian wajar dibuat pada harga hari ini dan bagaimana prestasi saham-saham tersebut.

NOTA:

Artikel ini adalah sebahagian dari artikel percubaan khas untuk pelanggan VIP Mocaz dan MFM Securities yang cuba dilancarkan tidak lama lagi. Sekiranya anda berminat untuk menjadi “beta testers”, bolehlah berhubung dengan support@mfmsecurities.com

Artikel ini hanyalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukanlah satu nasihat kewangan. Ianya tidak mengambil kira faktor tahap risiko peribadi dan kesesuaian produk ini dengan anda. Anda hendaklah mendapatkan nasihat kewangan dari pakar yang bertauliah sebelum mengambil sebarang tindakan dari artikel ini. Penulis dan pemilik laman web ini tidak bertanggung-jawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul dari tindakan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »